Isnin, 22 Jun 2009

Bhg3- Bah jawab komen dalam blog

Lama sungguh Bah tidak dapat bercerita, maklum sajalah, kerja-kerja orang macam Bah, lembu, kerbau, kambing pun hendak kena tengok takut masuk lading, yang Bah rasa pelik tuan-tuan punya peliharaan, lansung tidak ambil peduli akan binatang-binatang peliharaan mereka, tahunya untung sahaja, tidak kiralah apa jadi dengan kebun-kebun orang lain. Hendak kata tidak tahu hokum, gaya-gayanya macam orang lebai, entahlah apa hendak jadi, kalau sudah manusia lebih banyak mementingkan diri……..

Bah pulok tu kena tunggu anak buah ada masa baru dapat tolong tulis dalam blog, kalau tidak berhari-harilah kena nunggu. Seronok juga bila tengok, ada juga orang hendak buka blog Bah, ada dua tiga komen dari saudara-saudara Bah, maaflah kalau ada yang terasa, itu adalah pandapat Bah, namun Bah hurmati pendapat orang, itu hak mereka.

Bah tidak nafikan pendapat tok perai, Haji Ripin, Sahar hidup senang apabila Dato’ Hasan jadi Wakil Rakyat, Bah kenal sangat dengan dia orang, tapi Bah rasa ada sikit tidak kena dengan komen tok perai. Ripin dengan Sahar boleh jadi senang bukan kerana balak, dia jalankan kerja-kerja kontrak, dia cari ladang-ladang lebih merata estet. Bah tahu boleh dikatakan sebahagian duit hasil dia buat tabung untuk orang-orang kampong masa dia jadi Tok Empat, setiap tahun bila masuk musim naik sekolah, tabung ini dikeluarkan diagih-agih pada orang kampung bagi mengurangkan beban mereka. Maklum sajalah orang kampung memang jenis ramai anak.

Dato’ Hasan, ada tubuh Yayasan Rompin, dari kerja Ripin dengan Saharlah yang menampung tabung pendidikan untuk bantu orang-orang yang memerlukan. Masa itu Bah tenguk, langsung tiada pilih kasih, datanglah dari mana pun, tidak kira orang kampong atau felda, tidak kira orang Dato’ Hasan atau orang JJ.

Tentang cerita orang Rompin yang tok perai sebut, Bah tidak berapa kenal, tidak berani cerita, yang Bah tahu, masa Dato’ Hasan jadi Timbalan Menteri Besar, Wan Kadri juga dapat habuan kawasan balak dari Dato’ Hasan, banyak juga, Bah dengar dia buat bayar hutang bank. Wan Kadri ini Bah kenal masa dia kerja di Perkayuan Pahang dulu, malaslah Bah hendak kisah pasal dia panjang-panjang.

Tok 4 Zamri, (maaflah kalau dulu Bah sebut hantu raya, itu orang Ibam gelar kat dia) setahu Bah, Dato’ Hasan banyak tolong, macam-macam benda, tapi si Awi ni tidak pandai mengatur curak hidup, dia Cuma tahu hendak jadi bos sahaja, tunggu orang beri, kalau bercakap bijak betul. Awi ni bukan tidak ada lessen kontrak, tapi malas mengusaha sendiri macam budak nama Man Rafar. Dia cari susah sendiri, walau macam mana pun Bah tenguk, anak-anak dia dari bini dulu jumpa juga Dato’ Hasan bila ada keperluan hendak belajar, Bah tenguk Dato’ Hasan tidak pernah tidak tolong melalui Ripin, walaupun si Awi tidak sokong dia lagi. Itulah sedara namanya………
Bebalik pada cerita UMNO Rompin, masa Dato’ Hasan menawarkan diri bertanding Ketua Bahagian lawan dengan Dato’ Jabar, disitulah Bah tenguk mulanya Dato’ JJ main peranan memecahkan orang-orang UMNO di Rompin. Dato’ JJ pandai orangnya, dia jolok Dato’ Jabar bertanding Ketua Bahagian, dia hendak duduk Timbalan, dapat tidak payah bertanding. Masa itulah Bah tenguk UMNO Rompin sudah mula main duit, masa itulah Dato’ JJ mengajar orang Rompin dengan duit, tidak usah kiralah banyaknya, masa itulah Bah tenguk orang-orang dari felda berduyun-duyun mengusung Dato’ JJ, cari baju melayu baru, baju cap camel, macam-macam lagi lah.

Masa itu, si awi ni tidak pandang herta, dia pandang sedara, pandang maruah orang-orang Rompin, dia ke hulu hilir juga mempertahankan Dato’ Hasan, Bah ngikur saja, maklumlah Bah orang dagang. Tapi Bah tenguk lepas bertanding, Dato’ Hasan tidak pun buang penyokong-penyokong Dato’ Jabar dan Dato’ JJ, bukan macam sekarang ini, macam-macam Bah dengar cerita, bagaimana Dato’ JJ buat susahkan penyokong-penyokong Dato’ Hasan.

Mungkin juga Dato’ JJ yakin, orang-orang Rompin senang dibeli, padan dengan kari kepala ikan sahaja, sebab itu setiap kali Piliha Raya Dato’ JJ boleh menang, tapi sampai bila Dato’ JJ boleh anggap begitu ? Bah memang terasa, bila dapat cerita Dato’ JJ bercakap, “ itu anjing-anjing Rompin tunggu kat bawah” bila dia tenguk ramai orng tunggu kat bawah dari atas helekopter, Bah dengar sendiri rakaman cakap Dato’ JJ yang di bawak oleh orang cenderawasih. Memang pun, ramai anak-anak Rompin tidak bermaruah, bila orang sudah anggap macam itu.

Mungkin tok perai, salah seorang yang mendapat habuan dari Dato’ JJ, tidak mengapalah, Bah tidak salahkan tok perai mempertahankan Dato’ JJ, biasalah tu… Masa orang suka dekat kita nilah untuk mencari kesenangan, nanti bila sudah tiada, kita jadi hampas, orang lain senang, kita terkote-kote biji mata, macam sesetengah penyokong Dato’ Hasan juga…………….

Akhir kata Bah untuk menanguhkan cerita, kata orang, “Kita jangan terlalu lurus, nanti orang buat titi untuk keseberang, jangan juga terlalu bengkuk, nanti orang buat pulok tongkat, jadi berpada-padalah”. Apa yang penting, keikhlasan, jangan sekali-kali aninya orang lain, tutup periuk nasi orang lain, sesungguhnya doa anak-anak orang yang kita anianya dimakbulkan Allah……..

Ahad, 14 Jun 2009

TDK- Macam tasik biru di Bukit Ibam “ indah dipandang, tetapi tiada manfaat kepada manusia “

Macam-macam cerita Bah tengok di surat khabar hari ni, terasa juga hendak tulis beberapa isu, tapi Bah dah janji hendak cerita pasal TDK selepas DARA, Bah tunaikan janji juga, malam ini saja ada masa, malam esok kena kerja pula. (hai nampaknya kerja untuk orang rumah kena waktu siang aje nampaknya….”buleh nampak abis ajis” cakap orang Kg Mikang)

Semasa DARA diheboh-hebohkan hendak ditutup oleh Anuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar masa tu (sekarang padan muka, tak jadi Menteri lagi, sumpah lagi orang-orang Pahang…… kalau kat Kg Mikang kata “jaga awok ajis, saya sumpah ajis (AJIS TU MAKNANYA AWAK) dihempap punggur”), orang-orang seluruh Rompin kluar membantah, yang paling teruk kena jumpa Dato’ Hasan lah, Bah Cuma menumpang mencanguk saja, Bah ikut orang kuat bersuara masa itu Zamri, orang Ibam gelar “hantu raya”, jadi Tok Empat Ibam, sekarang ni dengar kata, tidak dah……..

Bantah punya bantah, tetap juga DARA kena tutup, rupa-rupanya Dato’ JJ yang ambil atas nama TDK, hendak buat macam mana, kerajaan sudah buat kata putus. Pekerja-pekerja DARA, ada yang pencen awal masuk TDK, ada yang pencen terus, termasuklah Bah, sekarang makan duit pencen, sikit-sikit tambah duit kerja JAGA.

Bermula dari situ, Dato’ JJ menampakkan hidup mewah bersma kuncu-kuncu dia, yang paling berlagak Hambali, Jalud, Haji Mokhtar dan ramai lagi lah termasuk orang-orang dari felda. Lepas itu, Bah dengan Haji Mokhtar kena buang lagi Dato’ JJ. Bermulalah empayar Dato’ JJ dan kuncu-kuncunya di Rompin.

Bah juga pada mulanya yakin, TDK akan lebih baik untuk membangunkan kawasan DARA yang telah tersedia ada atau yang akan dilaksanakan pembangunan andar-bandar yang di rancang oleh DARA macam, Bandar Ibam, Kota Bahagia, Melati, Kota Shahbandar, Bandar Tun Razak, Kota Perdana, Perantau Damai, Cenderawasih, Chanis dan Perwira Jaya.

Hampas rupa-rupanya, sesetengah Bandar tadi, ada yang jadi Bandar hantu, tempat jin bertendang. Itu cerita pasal Bandar, dengan masyarakat pulok, JJ bela orang-orang dia saja, ialah mana orang-orang yang macam “hantu raya”, lebih telor bagi, mengekorlah ke JJ siang malam, kurang telor nanti, buat-buat mengamuk.

Dato’ Hasan ada juga membela hantu raya, Dato’ Hasan bagi kurang telor, JJ bagi lebih telor, habis lari ke Dato’ JJ, habis orang-orang kuat Dato’ Hasan macam Zamri hantu raya, Haji Rosli orang Kuala Rompin (orang kaya Rompin, masa Dato’ Hasan), Dato Maznah dan Haji Khalid (Haji Khalid ni dulu masa DARA, keja bawak kamera je, Dato’ Hasan bagi dia kaya raya). Masuk sekali dengan YB Safri, Bah dengar cerita, dulu YB Safri anak didik Dato’ Hasan, last-last anak murid lawan guru. (nanti Bah cerita macam mana JJ tumbangkan Dato’ Hasan melalui hantu-hantu raya tadi…….) Ada juga orang yang taat lagi dengan Dato’ Hasan, ada yang selalu bawa kereta wira aerobeck no plat 4040, Bah tengok dia tidak senang macam hantu raya-hantu raya tadi. (tapi Bah lama tak nampak main-main kat Ibam), Bah nampak dia tu lurus bendul, bodoh, orang lain ambik kesempatan masa Dato’ Hasan ada.

Pasal pembangunan Bandar-bandar tadi, rupa-rupa tidak ada apa yang dibangunkan untuk masyarakat setempat, kebajikan masyarakat, kemudahan-kemudahan asas semuanya hampas. Mana lesapnya duit bantuan dana dari kerajaan, Bah dengar lebih RM12 juta setahun untuk menampung peruntukkan pentadbiran TDK dan pembangunan masyarakat dalam kawasan Pahang Tenggara. Kalau ada pun buat pembangunan di Muadzam Shah dan laian Bandar, semua dijual, yang dapat beli orang kaya dan bangsa lain.

Ibarat cakap, macam tasik biru dekat Bukit Ibam itulah, nampak cantik, tapi tidak ada apa boleh digunakan, air tidak boleh minum, mandi, basuh berak kencing, ikan pun tidak ada seekor yang boleh hidup dalam tasik.

Sampai di sini dulu, Bah akan sambung lagi, macam mana JJ dan kuncu-kuncunya menjual harta-harta warisan DARA, sampailah Bah cerita macam mana dia boleh tumbangkan Dato’ Hasan satu-satunya pemimpin anak tempatan Rompin…….. Wassalam.

Jumaat, 12 Jun 2009

Bhg 1. Selepas DARA - TDK pulak, apa jadi selepas itu ?

Bah bukan hendak megada-adakan cerita berhubung dengan tempat Bah duduk cari makan sekeluarga, Bah sudah berhijrah ke kawasan Pahang Tengara ni sejak tahun 1976 lagi, Bah lari dari tempat lahir Bah di salah satu kampung di Ulu Tembeling (tak payahlah sebut nama kampung, sebak dada kalau terkenang), Bah dapat kerja dengan Rompin Co di Bukit Ibam, nantilah Bah cerita macam mana Bah sampai Bukit Ibam naik keretaapi dari Lanjut Rompin.

Apabila kerajaan mengistiharkan Lembaga Kemajuan Pahang Tengara (DARA) ditutup, maka kerajaan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Menterinya masa itu Dato' Anuar Musa, menyerahkan pembangunan, pentadbiran dalam seluruh Wilayah Pahang Tenggara kepada TDK (Teras DARA Konsurtium), yang mana Dato' Sri Jamaluddin Dato' Jarjis, Ahli Parlimen Rompin adalah bos besarnya.

Sebagai perkenalan blog Bah ini, biarlah pelayar-pelayar blog dihidang dulu dengan cerita-cerita dalaman tempat Bah menumpang teduh, bukan hidup merimpat ke negeri orang, dalam negeri Bah juga iaitu Pahang Darul Makmur. Bah bukan pandai menulis blog, lepas kumpul cerita, Bah suruh anak buah Bah tolong tuliskan.

Bagaimana politik Rompin bermula, bagaimana Dato’ Sri Jamaluddin Jarjis boleh bertapak di Rompin sehingga menyinkirkan anak tempatan Dato’ Haji Hasan Arifin, bekas Timbalan Menteri Besar Pahang, bekas ADUN kawasan Bukit Ibam. Semuanya akan Bah paparkan untuk tatapan sahabat-sahabat blog.

Bagaimana Dato’ JJ menguasi TDK selepas menerima tugas pentabiran DARA dari Kerajaan, sebagai modal menguasi politik Rompin. Selepas itu apa Dato’ Sri JJ buat dengan harta-harta DARA dulu untuk menjaga kepentingan politik Dato’ Sri JJ sendiri.

Bah bukan hendak membuka keburukan sesiapa, tetapi sebagai satu panduan kepada generasi muda untuk meneruskan perjuanagn hidup dalam menilai seseorang pemimpin.

Bah sampai sekarang seorang Ahli UMNO, Cuma selepas tahun 1996, Bah diketepikan oleh kepimpinan UMNO setempat, kerana Bah tidak pandai bermuka-muka dan tidak pandai jatuh menjatuh, kerat mengerat sama sendiri, Bah paling tidak berminat dengan sogokkan wang ringgit untuk menjatuhkan pemimpin lain. Biarlah Bah mengenepi sebagai orang tua, dan tengok-tengok anak muda UMNO mengiatkan aktiviti bersama masyarakat.

“UMNO AKAN REBAH, KALAU SIKAP AHLI-AHLI MASIH TIDAK BERUBAH”. Kalau sayangkan UMNO, berubahlah dari sekarang !!!!!!!!!!!